DIRIWAYATKAN bahawa Surah Al-Maaidah, Ayat 3 diturunkan selepas waktu Asar, Jumaat di Padang Arafah pada musim haji penghabisan.
Ketika itu, Rasulullah berada di Arafah di atas unta. Ketika ayat ini turun, Baginda tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat itu. Kemudian, Rasulullah bersandar pada unta itu dan haiwan berkenaan duduk perlahan-lahan.
Selepas itu, turun Jibril dan berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah dan demikian juga apa yang terlarang olehnya. Oleh itu, kamu kumpulkan sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.”
Sebaik Jibril pergi, Rasulullah berangkat ke Makkah dan kemudian ke Madinah. Selepas Rasulullah mengumpulkan sahabat, Baginda menceritakan apa-apa yang diberitahu Jibril kepada mereka. Apabila sahabat mendengar perkara itu, mereka gembira sambil berkata: “Agama kita telah sempurna! Agama kita telah sempurna!”
Apabila Abu Bakar mendengar keterangan Rasulullah, beliau tidak dapat menahan kesedihannya. Beliau kembali ke rumah, lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar menangis dari pagi hingga malam.
Kisah Abu Bakar menangis sampai ke pengetahuan sahabat yang lain. Maka, berkumpul sahabat di depan rumah Abu Bakar dan mereka berkata: “Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuatkan kamu menangis hingga begini sekali keadaanmu?
“Sepatutnya kamu gembira sebab agama kita telah sempurna.”
Mendengarkan pertanyaan sahabat, Abu Bakar pun berkata: “Wahai sahabatku, kamu semua tidak tahu musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna, maka akan kelihatanlah akan kekurangannya.
“Dengan turunnya ayat itu menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah. Hassan dan Husin menjadi yatim dan isteri Nabi menjadi janda.”
Selepas mendengar penjelasan Abu Bakar, mereka sedar akan kebenaran kata-kata Abu Bakar. Lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka didengar sahabat lain. Mereka kemudian memberitahu Rasulullah apa yang mereka dengar dan lihat.
Seorang daripada sahabat berkata: “Ya Rasulullah! Kami baru balik dari rumah Abu Bakar dan kami mendapati ramai menangis dengan suara kuat di depan rumah beliau.”
Apabila Rasulullah mendengar keterangan sahabat itu, berubahlah wajah Rasulullah. Baginda kemudian ke rumah Abu Bakar.
Sebaik Rasulullah tiba di rumah Abu Bakar, Baginda melihat mereka menangis.
Baginda kemudian bertanya: “Wahai sahabatku, mengapakah kamu semua menangis?” Kemudian Ali menjawab: “Ya Rasulullah! Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?”
Lalu Rasulullah berkata: “Semua yang dikata oleh Abu Bakar adalah benar, dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua telah hampir dekat.”
Sebaik Abu Bakar mendengar pengakuan Rasulullah, beliau pun menangis sekuat-kuat tenaganya sehingga pengsan. Sementara, Ali menggeletar seluruh tubuhnya. Sahabat lain menangis sekuat-kuat yang mereka mampu. Hinggakan gunung-ganang, batu-bata, semua malaikat di langit, cacing dan semua binatang baik yang di darat atau di laut turut menangis.
Kemudian Rasulullah bersalaman dengan sahabat seorang demi seorang dan berwasiat kepada mereka.
Kisah Rasulullah mengalami hidup selepas turunnya ayat itu, ada yang mengatakan 81 hari. Ada pula yang mengatakan Baginda hidup hingga 50 hari selepas turunnya ayat itu. Tidak kurang mengatakan Baginda hidup selama 35 hari dan 21 hari daripada ayat itu diturunkan.
Pada saat kewafatan Rasulullah, Baginda meminta Bilal azan untuk mengerjakan solat. Lalu berkumpul orang Muhajirin dan Anshar di Masjid Rasulullah.
Baginda kemudian menunaikan solat dua rakaat bersama semua yang hadir. Selesai mengerjakan solat, Baginda bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata:
“Alhamdulillah, wahai Muslimin, sesungguhnya saya adalah seorang Nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izinnya. Dan saya ini adalah sebagai saudara kandung kamu, yang sayang pada kamu semua seperti seorang ayah.
“Oleh itu, kalau ada sesiapa yang mempunyai hak untuk menuntut, maka hendaklah dia bangun dan membalasi saya sebelum saya dituntut pada Hari Kiamat.”
Rasulullah berkata demikian sebanyak tiga kali, kemudian bangunlah seorang lelaki yang bernama 'Ukasyah bin Muhshan dan berkata: “Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah, kalau kamu tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini.”
Lalu 'Ukasyah berkata lagi: “Sesungguhnya dalam Perang Badar saya bersamamu ya Rasulullah, pada masa itu saya mengikuti unta kamu dari belakang.
“Selepas dekat, saya pun turun menghampiri kau dengan tujuan supaya saya dapat mencium pahamu. Tetapi, kamu telah mengambil tongkat dan memukul untamu untuk berjalan cepat, pada masa itu saya pun kamu pukul pada tulang rusuk saya.
“Oleh itu, saya hendak tahu sama ada kamu sengaja memukul saya atau hendak memukul unta itu.”
Rasulullah berkata: “Wahai 'Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.”
Kemudian Rasulullah berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkat aku ke mari.” Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di alas kepala dengan berkata: “Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk dibalas (qishash).”
Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah, beliau memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah menyahut dengan berkata: “Siapakah di pintu?” Lalu Bilal berkata: “Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk mengambil tongkat Baginda.”
Kemudian Fatimah berkata: “Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya.” Berkata Bilal: “Wahai Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqishash.”
Bertanya Fatimah lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah?” Bilal tidak menjawab pertanyaan itu.
Sebaik Fatimah memberikan tongkat itu, Bilal membawanya kepada Rasulullah. Selepas menerima tongkat itu, Baginda menyerahkan kepada 'Ukasyah.
Melihatkan hal itu, Abu Bakar dan Umar tampil ke depan sambil berkata: “Wahai 'Ukasyah, janganlah kamu qishash Baginda, tetapi kamu qishashlah kami berdua.”
Apabila Rasulullah mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar, dengan segera Baginda berkata: “Wahai Abu Bakar, Umar, duduklah kamu berdua. Sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua.”
Kemudian Ali bangun, lalu berkata: “Wahai ‘Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah. Oleh itu, kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqishash Rasulullah.”
Lalu Rasulullah berkata: “Wahai Ali, duduklah kamu sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.”
Selepas itu Hassan dan Hussin bangun dengan berkata: “Wahai 'Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah, kalau kamu menqishash kami sama dengan kamu menqishash Rasulullah.”
Mendengar kata-kata cucunya, Rasulullah pun berkata: “Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua.” Berkata Rasulullah: “Wahai 'Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul.”
Kemudian 'Ukasyah berkata: “Ya Rasulullah, kamu telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju.” Maka Rasulullah pun membuka baju. Sebaik Rasulullah membuka baju, menangislah semua yang hadir.
Sebaik 'Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah, dia pun mencium beliau dan berkata: “Saya tebus anda dengan jiwa saya, ya Rasulullah.
“Siapakah yang sanggup memukulmu. Saya melakukan begini adalah sebab saya hendak menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh Allah dengan badan saya. Dan Allah menjaga saya daripada neraka dengan kehormatanmu.”
Kemudian Rasulullah berkata: “Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.”
Kemudian semua jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Selepas itu, jemaah pun berkata: “Wahai 'Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperoleh darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah dalam syurga.”
Bersambung...
Sumber:
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Agama/20040712220127/Article/